MAJLIS PERASMIAN KILANG JANAKUASA BIOGAS (RE) DAN KILANG HUMUS LRTSB
Ladang Rakyat Trengganu Sdn. Bhd, sebuah anak syarikat di bawah Kumpulan Terengganu Incorporated hari ini telah mengadakan Majlis Perasmian Kilang Janakuasa Biogas (RE) dan Kilang Humus bertempat di perkarangan Kilang Sawit Bukit Bandi, Kemaman, Terengganu.
Kilang tersebut telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri b. Mokhtar dan dihadiri oleh YBM Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan, Presiden dan Pengarah Terengganu Incorporated serta para tetamu kehormat yang lain.
YAB Menteri Besar Terengganu dalam ucapan perasmiannya telah memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu memandang positif projek usahasama yang telah dilakukan oleh Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd dalam membangunkan Kilang Humus selaras dengan matlamat Food Security Terengganu bagi menjamin pengeluaran hasil tanaman yang optimum oleh para petani di Negeri Terengganu. Beliau berharap produk kilang ini mampu menampung keperluan domestik dengan harga yang lebih rendah.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kewangan (MOF), East Coast Economic Region Development Council (ECERDC), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jawatankuasa Food Security Negeri Terengganu dan semua yang terlibat dalam memberikan kepercayaan kepada Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd dalam menjayakan Loji Janakuasa Biogas dan Kilang Humus. Beliau turut berharap projek ini mampu memberikan manfaat peluang pekerjaan dan peningkatan taraf ekonomi amnya kepada rakyat Negeri Terengganu dan khususnya kepada rakyat di Daerah Kemaman.
Sebelum itu, Yang Berhormat Dato’ Haji Satiful Bahri bin Mamat, Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi merangkap Pengerusi Ladang Rakyat Trengganu Sdn. Bhd. dalam ucapan aluannya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd yang merupakan salah sebuah anak syarikat dibawah Kumpulan Terengganu Incorporated milik kerajaan Negeri Terengganu diatas pencapaian dan prestasi yang membanggakan dalam perniagaannya dalam tempoh 5 tahun ini.
Beliau turut berbangga dengan pengurusan syarikat yang berjaya mengikat kontrak membekal tenaga elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad bagi tempoh 21 tahun dan sekaligus memastikan pelaburan yang dibuat tidak sia-sia.
Dalam ucapan yang sama, beliau turut mengumumkan bahawa LRT akan melantik dua buah syarikat sebagai agen pemasaran bagi produk baja humus yang dihasilkan oleh Kilang Humus LRT. Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) dan Macrotech Solution Sdn Bhd telah dipilih bagi memperkenalkan dan memasarkan produk baja humus ini di peringkat negeri dan nasional.
Dalam majlis yang sama juga Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd turut menandatangani Perjanjian Persefahaman di antara Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) dan Macrotech Solution Sdn Bhd sebagai ejen pemasaran Baja Humus sambil disaksikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Mulia Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Pengerusi LRTSB dan Yang Berhormat Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu