Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd., 25 Disember 2025 – Program Explogrity 2.0 merupakan kesinambungan kejayaan Explogrity 1.0 pada tahun 2024. Program ini dianjurkan oleh Unit Integriti, Risiko & Tadbir Urus dengan kolaborasi Unit Audit Dalam, Jawatankuasa OACP LRTSB serta Ketua-ketua jabatan, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memacu agenda pembudayaan integriti di LRTSB dan kumpulan syarikatnya.
Majlis Perasmian Program Pertandingan Explogrity 2.0 telah disempurnakan oleh Puan Che Nor Aidah binti Aman bagi pihak Ketua Eksekutif Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd., dengan kehadiran Pengurus Rakyat Ketengah Perwira Sdn. Bhd., mewakili anak syarikat LRTSB, sebagai manifestasi komitmen pengurusan terhadap agenda integriti organisasi.
Program pertandingan Explogrity 2.0 merupakan platform strategik dalam memupuk nilai integriti secara kreatif, menyeluruh dan berimpak tinggi. Dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar, nilai ketelusan, amanah dan tanggungjawab merupakan keperluan kritikal, manakala individu yang berintegriti menjadi tonggak kepada kejayaan organisasi. Selain daripada itu, program ini bertujuan membentuk budaya kerja berasaskan nilai murni, di mana setiap keputusan dibuat dengan etika profesional dan kebertanggungjawaban, bukan sekadar mematuhi prosedur.
Program ini juga turut melibatkan peserta daripada Rakyat Ketengah Perwira Sdn. Bhd., kerana pengurusan melihat kepentingan kerjasama dan komitmen seluruh Kumpulan dalam memperkukuhkan integriti. Semangat kerjasama dan penglibatan peserta menunjukkan dedikasi warga Kumpulan LRTSB ke arah organisasi yang lebih berintegriti, berdaya saing dan berwibawa. Menang atau kalah bukan ukuran utama, sebaliknya ilmu, pengalaman dan nilai integriti yang dibawa pulang adalah perkara terpenting. Program ini dijangka menjadi titik tolak kepada budaya kerja yang lebih cemerlang dan berintegriti di LRTSB dan Kumpulan Syarikatnya.